RINDU... Voon (tengah) mendakap ibunya, Siti Abdullah sambil diperhatikan abangnya, Mohd Salleh Mohammad.
KUCHING : “Inilah hadiah paling bermakna dalam hidup saya. Saya
bersyukur dapat menatap wajah dan mencium pipi anak saya walaupun
terpaksa menunggu 60 tahun selepas kami berpisah,” kata Siti Abdullah
sebaik dipertemukan dengan anak lelakinya, Voon Kow Mung, 60, di Kampung
Rampangi, semalam.
Pertemuan penuh linangan air mata itu berlangsung sebaik Voon
berjaya mengesan adik beradiknya di Kuching selepas dia dibawa ke China
oleh keluarga angkatnya.
“Banyak usaha dan ikhtiar dilakukan
bagi membolehkan anak saya dipertemukan, tapi gagal. Kehidupan kami
ketika itu sukar, malah tiada wang untuk mencarinya di China.
“Kami hanya mengetahui Voon berada di China tapi lokasi tidak
diketahui. Namun, kami terus berusaha dan berkat kesabaran, akhirnya
bertemu dan disatukan dalam majlis penuh kesyukuran.
“Saya
terpaksa menyerahkan Voon kepada keluarga angkat ketika menetap di Miri.
Ketika itu, dia baru berusia dua bulan dan diserang demam berpanjangan,
tetapi apabila berada dengan pasangan suami isteri berketurunan Cina
itu, kesihatannya kembali baik.
“Oleh itu, keluarga kami
membuat keputusan menyerahkan anak saya untuk dijaga keluarga Cina
berkenaan, tetapi tidak lama kemudian keluarga angkatnya membawa anak
saya pulang ke negara asal dan sejak itu hubungan kami terputus,”
katanya.
Menurutnya, sejak berpisah dengan Voon, dia sering menangis pada
waktu malam kerana mengenangkan anak keempat daripada 11 beradik itu.
“Setiap malam apabila menatap gambarnya, saya menangis kerana
memikirkan adakah saya akan berjumpa dengannya satu hari nanti,”
katanya.
Sementara itu, Voon berkata, sebaik dimaklumkan ibunya masih hidup,
dia terus membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke kampung di
Kuching.
“Dalam fikiran, saya menyangka emak sudah uzur tapi
sebaliknya dia kelihatan masih sihat dan mampu berjalan walaupun sudah
berusia.
“Saya pernah berusaha menjejak emak dengan bantuan
media di China tapi usaha itu tidak berhasil hinggalah saya menemui
seorang rakyat Malaysia berasal dari Sarawak ketika berada di Australia
sebelum dia memberitahu mengenali ayah menerusi gambar ditunjukkan
kepadanya.
Voon yang mempunyai anak perempuan tunggal, Bi
Ting wen, 31, serta dua cucu masing-masing berusia 11 bulan dan tiga
tahun berkata, dia mengetahui ibu kandungnya masih hidup dan berada di
Malaysia selepas dimaklumkan oleh kakak angkat.
“Ibu angkat
meninggal dunia pada 1976 dan sebelum pemergiannya, dia tidak pernah
memberitahu saya ada keluarga kandung di Sarawak hinggalah kakak angkat
memberitahu cerita sebenar selepas kematian ibu.
“Dari situ, saya nekad mencari ibu kandung yang terpisah sejak sekian lama,” katanya.
Dia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 9 pagi semalam
sambil ditemani Bi Teng, sebelum itu dibawa bertemu semua
adik-beradiknya di sebuah rumah di Kampung Kudei, Jalan Nenas Barat.
Sebaik selesai, Voon dibawa ke Kampung Rampangi bertemu ibunya yang
menetap bersama kakaknya, dan dari situlah, drama air mata bermula.
Sumber From: Mym