0

Kepulangan Datuk Seri Najib Razak secara tergesa-gesa dari Hawaii setelah berita dan gambarnya bermain golf dengan Barack Obama yang kemudian menjadi kritikan ramai, di ketika banjir kian melanda, sama sekali tidak menjadikan imejnya di mata rakyat bertambah baik.

Walaupun kepulangannya terus ke Kota Baru untuk meninjau suasana banjir dan kemudian diikuti dengan pengumuman bantuan RM500 juta serta kesediaan meluangkan lebih banyak masa ke negeri yang ditimpa musibah agak disambut baik, terdedahnya banyak perkara di sebalik itu menjadikan beliau terus menjadi kecaman ramai.

Perkara yang paling menjadi perbualan ialah mengenai kepulangannya bersendirian ke tanah air sedangkan beliau dikatakan pergi bercuti ke Hawaii bersama isteri dan ahli keluarganya.
Ramai yang bertanya di mana Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini pernah menyatakan isteri pemimpin haruslah berkorban dan meluangkan banyak masa membantu suami masing-masing?

Najib kemudian dilaporkan menaiki pesawat komersial dari Hawaii ke Hong Kong, manakala dari Hong Kong ke Kota Baru pula, beliau dijemput jet khas milik TUDM.

Keadaan ini bukan saja melibatkan kos penerbangan yang jadi berganda, tetapi segera menimbulkan persoalan, kenapa pesawat khas yang membawanya ke Hawaii itu ditinggalkan di Amerika Syarikat (AS) dan Najib sendiri menjadi begitu "budiman" sanggup menaiki pesawat komersial ke Hong Kong?

Kenapa jet khas untuk perdana menteri itu ditinggalkan dan siapakah pula yang menggunakannya di AS itu?

Walaupun Pejabat Perdana Menteri kemudian ada menjelaskan pesawat khas itu ditinggalkan di AS kerana mengalami masalah teknikal dan bukannya digunakan mana-mana ahli keluarga Najib, apa yang didedahkan di alam maya kemudian lebih mengejutkan.

Sesiapa yang mempunyai capaian Internet dan melayari FlightRadar24 dan kemudian menaip 9M-NAA iaitu nombor pendaftaran pesawat khas yang membawa Najib ke Hawaii untuk bercuti sebelum ini, pasti mendapati jet itu sebenarnya tidak duduk diam di AS, sebaliknya banyak bergentayangan di udara.

Dari Hawaii, ia didapati bergerak ke Indianapolis, dari sana pula bergerak sebanyak dua kali ke Los Angeles, kemudian ke New York, London dan dikesan di Dubai. Terbaru pula, FlighhtRadar24 mengesan pesawat itu berada di Bangkok dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Timbul persoalan, siapakah yang sedang meriah menggunakan jet itu sedangkan Najib sedang berada di dalam negara?

Jika benar penjelasan Pejabat Perdana Menteri pesawat itu mengalami masalah teknikal, sudah tentulah selepas ia dibaiki, ia terus dibawa balik ke Malaysia dan bukannya singgah di Indianapolis, Los Angeles, New York, London dan Dubai?

Sehingga tiada penjelasan daripada mulut Najib sendiri mengenai pesawat itu, ia bagaikan membunuh semua pengorbanan perdana menteri sanggup pulang segera ke tanah air, meluangkan banyak masa dengan mangsa banjir dan memberikan peruntukan sebanyak RM500 juta.
Bahana daripada penggunaan jet ini lebih besar dan menjadikan kerja keras serta pengorbanan Najib sia-sia saja.

Selain itu, kunjungan Najib ke beberapa negeri meninjau keadaan banjir turut diselubungi pelbagai adegan yang menyebabkan imej dan prestasinya terus dipertikaikan.

Di Perak, melalui rakaman video yang tersebar luas di media sosial, Najib didapati meminta jurugambar merakam gambarnya bersama pemimpin lain, termasuk Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, di tahap kedalaman sehingga paras paha untuk siaran media.

Ia menunjukkan seolah-olah Najib mahu memperlihatkan beliau sedang berada di paras air yang dalam secara natural dengan keprihatinan yang luar biasa, sedangkan ia sebenarnya rakaman yang diminta-minta atau lakonan saja.

Kemudian daripada itu, gambar dua lelaki sedang membukakan kasutnya turut menjadi viral dan kecaman ramai dan dikaitkan dengan kedudukannya sebagai pemimpin bangsawan.
Di Kelantan pula, ketika beliau sedang menggaul makanan di dalam kawah yang sedang dimasak untuk mangsa banjir, turut didapati tiada api di bawahnya dan mungkin makanan itu sudah pun siap dimasak ketika itu.

Sekali lagi Najib didapati seperti sedang berlakon rupanya.
Setelah dikecam kerana pergi bercuti ke Hawaii ketika banjir mula melanda dan kemudian pulang tergesa-gesa setelah gambarnya bermain golf tersebar luas, Najib tentulah mengharapkan kepulangannya bukan saja menunjukkan jiwa pemimpinnya yang sejati tetapi untuk memulihkan imejnya yang menjadi kecaman ramai itu.

Namun, malangnya isu jet yang terus menjadi bualan ramai dan beberapa insiden "lakonan" yang dilakukannya ketika banjir, menjadikan Najib sebenarnya makin lemas dan tenggelam dalam mempertahankan karier dan masa depannya walaupun banjir kian surut di seluruh negara.

Hari-hari yang mendatang dan sehingga pilihanraya akan datang, kekal menjadi detik yang memeritkan bagi Najib. – shahbudindotcom.blogspot.com, 3 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Oh News Hub.

Post a Comment Disqus

 
Top