0
Hasrat dan impiannya untuk tampil dengan single terbaru berjudul 'Destinasi Cinta' tidak kesampaian.  Malah, lagu yang muzik videonya telah siap dirakam itu terpaksa dilupakan begitu sahaja. Keputusan untuk tidak melancarkan lagu tersebut adalah keputusan muktamad Nazim Othman.  Hanya dia sahaja yang tahu sebab dan puncanya.
 
"Lagu tersebut telah lama terperap iaitu lebih setahun.  Memandangkan umur saya sudah 30 tahun, jadi saya merasakan genre lagu tersebut tidak sesuai dengan usia saya kini.  Jadi, saya pejam mata dan simpan.
 
"Apa yang berlaku saya jadikan satu pelajaran.  Silapnya, saya belum cukup bersedia untuk lagu tersebut.  Lagu itu tak membantu menonjolkan kemampuan saya.  Bukan takut dengan kritikan, tapi lagu tersebut tak cukup bagus untuk dikeluarkan.  Hasilnya nanti hanya akan mengganggu imej saya," jelas Nazim.
 
Bukan sikit jumlah yang dilabur, Nazim memberitahu yang dia berhabis sebanyak RM50 ribu untuk lagu tersebut.
 
"Ini bukan satu pembaziran tapi ia proses pembelajaran.  Jumlah yang dilaburkan sebanyak RM50 ribu itu merangkumi banyak perkara. Satu jumlah yang banyak tapi perkara sudah lepas.  Bukannya saya boleh dapatkan balik duit tersebut.  Tapi disebabkan ia silap sendiri, jadi saya OK," tambahnya lagi.
 
Tidak mahu mengalah, Nazim tetap akan meneruskan cita-citanya untuk tampil dengan lagu baru.
 
"Saya baru rakam lagu baru.  Lagu ini berentak pop balada yang dicipta oleh Omar K dan Audi Mok.  Mereka tahu tahap kemampuan dan vokal saya.  Paling penting, saya gembira kerana mereka membantu memberikan dari segi sentuhan emosi di dalam lagu ini.  Dan itu membuatkan saya yakin untuk terbitkan lagu baru ini," katanya lagi yang turut mengeluarkan duit sendiri dalam penghasilan lagu barunya.

Post a Comment Disqus

 
Top