0
KUALA TERENGGANU – Belum pun sempat melepaskan penat selepas terlantar di hospital hampir sebulan, seorang warga emas dihambur dengan kata-kata kesat selain nyaris dibelasah oleh anak lelakinya.

Kejadian berlaku di Kampung Tanjung Batu Satu, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, ibu malang berusia 70 tahun itu dikatakan baharu sahaja sampai di rumahnya setelah 25 hari ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, mangsa mendapati pintu rumahnya dikunci dari luar menggunakan kunci mangga, menyebabkan warga emas itu terpaksa memanggil suspek, 44.




“Namun selepas beberapa minit menunggu, hanya tingkap rumahnya sahaja dibuka oleh seorang lelaki tidak dikenali, dipercayai rakan anaknya itu yang turut memaklumkan dia ditugaskan untuk menjaga rumah berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, curiga dengan tindak tanduk lelaki itu, mangsa kemudian meminta tolong anak saudaranya untuk membuka pintu rumah dan sejurus berjaya masuk, mangsa yang masih kepenatan duduk di atas kerusi di ruang tamu rumahnya.

“Tetapi belum pun sempat ‘panas punggung’, secara tiba-tiba suspek muncul dan cuba untuk membelasah mangsa, namun berjaya dielak menyebabkan jari kiri mangsa bengkak ketika cuba mempertahankan dirinya.

“Mangsa yakin anaknya tergamak bertindak sedemikian kerana masih berdendam dengannya selepas tindakannya sebelum ini yang sengaja membuang semua barang milik suspek seperti botol dan kotak,” katanya.

Jelas sumber lagi, suspek yang juga seorang penagih dadah tegar dan kerap kali dipenjarakan sebelum ini, turut melepaskan amarahnya dengan memaki hamun warga emas itu tanpa mengendahkan perasaan dan keadaan mangsa yang ketika itu uzur dan lemah.

“Difahamkan, suspek yang turut dipercayai menjadi pengedar dadah juga pernah mengugut ibu malang itu dengan memaklumkan akan memukul mangsa jika pulang ke rumah lagi selepas ini,” katanya.





Mangsa yang bimbang keselamatan dirinya terancam membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber

Post a Comment Disqus

 
Top