Kuala Lumpur: Terdesak untuk mengelak diberkas pihak berkuasa dalam Op Bersepadu 6P, seorang lelaki warga Bangladesh sanggup ‘menempah’ maut apabila nekad bergayut dan bersembunyi pada jeriji besi di tingkat 13 sebuah flat di Jalan Putra di sini, kelmarin.
Difahamkan, ketika serbuan dilakukan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIWPKL), lelaki berusia 30-an itu hanya memakai kain pelikat tanpa memakai baju biarpun mengetahui risiko jika terjatuh pada ketinggian itu.
Ketua Bahagian Penguat kuasa JIWPKL James Musa Singa berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 2.30 pagi itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap kedai runcit, restoran dan rumah flat yang dipercayai didiami pendatang asing tanpa izin.
“Dengan kekuatan 53 anggota, kami turut dibantu agensi lain termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Kami berjaya memeriksa 567 warga asing dan rakyat tempatan dan daripada jumlah itu, seramai 119 orang ditahan iaitu 100 lelaki dan 19 wanita, “katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pecahan, warga asing paling ramai ditahan dari Bangladesh seramai 46 orang diikuti Pakistan (25), Indonesia (20), Nepal (18), Myanmar (empat), India (tiga), Vietnam (dua) manakala Nigeria dan Cameroon masing-masing satu yang berusia antara 20 hingga 50 tahun.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa, pas dan permit kerja disyaki palsu serta menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Post a Comment Facebook Disqus