Mangsa maut di tempat kejadian dengan sebahagian badannya melecur selepas motosikalnya merempuh lori dan terbakar.
TAPAH - Seorang penunggang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah lori dan terbakar dalam kemalangan di Kilometer (KM) 315 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu turut mengakibatkan sebahagian badan mangsa, Kamarul Ariffin Abd Rahman, 43, melecur.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang sendirian dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur merempuh belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan untuk diperiksa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Gajah maut di tempat kejadian.
“Seorang anggota JPJ, D Jal Chandra, 22, turut cedera di mulut ketika memeriksa pemandu lori di belakang kenderaan tersebut.
“Manakala, pemandu lori berusia 56 tahun yang berasal dari Kampung Baru Semeling, Bedong, Kedah tidak cedera,” katanya semalam.
Som Sak berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah bedah siasat dan jenazahnya dituntut ahli keluarga petang semalam. Anggota JPJ yang cedera turut dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, R Balaratnam berkata, dua jentera dan tiga motosikal dengan kekuatan 14 anggota bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran pada motosikal mangsa.
Katanya, api berjaya dipadamkan dan operasi tamat pada jam 11.20 pagi.
Post a Comment Facebook Disqus