0
MIRI - Berikutan beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di Bandaraya Miri semalam, Kerajaan Sarawak telah mengarahkan jabatan dan agensi berkaitan agar bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi sebarang bencana.
   
Menteri Muda Komunikasi Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, arahan telah dikeluarkan selepas melawat dua tapak tanah runtuh iaitu melibatkan jalan raya di Padang Kerbau di Jalan Pujut dan Kampung Katong.
   
Beliau berkata, walaupun tiada kehilangan nyawa dilaporkan namun beliau bimbang musim hujan yang berpanjangan akan membahayakan penduduk yang tinggal di cerun bukit.
   
Bercakap kepada Bernama di sini, Kim Shin menambah, kejadian dua tanah runtuh itu tidak serius kerana penduduk yang terjejas masih boleh menggunakan laluan alternatif.
   
Beliau juga menasihatkan mereka yang tinggal di kawasan rendah dan cerun bukit di Miri agar sentiasa berjaga-jaga ketika musim hujan ini.

Sementara itu, sebagai langkah keselamatan 14 orang telah dinasihatkan untuk berpindah ke kilang berhampiran berikutan kejadian tanah runtuh di Padang Kerbau di Jalan Pujut.
   
Hujan yang berterusan sejak malam kelmarin juga telah menyebabkan berlaku tanah runtuh di atas bukit berhampiran Jalan Dato Abang Indeh yang terletak di tengah bandar, iaitu berhampiran tadika St Columba, Sekolah Kebangsaan Columba dan SMK Columba.
   
Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan tiga pokok tumbang dan merosakkan tiang lampu sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas selama beberapa jam.
   
Ia juga menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa pusat komersial di bandar Miri namun, air mulai surut pada lewat petang semalam. - Bernama

Post a Comment Disqus

 
Top