0
Penggunaan kalimah ALLAH tertakluk enakmen negeri



Najib Tun Razak ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur hari ini.


KUALA LUMPUR - Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini menyatakan sokongan terhadap pendirian kerajaan dalam mempertahankan kedudukan agama Islam, termasuk kalimah ALLAH, kata Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata MT juga mengambil maklum resolusi 10 perkara yang telah dipersetujui kerajaan pusat.

Bagaimanapun kata Najib, resolusi itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri.

"Maknanya kalau negeri itu ada enakmen, ia tertakluk kepada enakmen negeri.

Kalau negeri yang tidak mempunyai enakmen seperti Sabah dan Sarawak, maka amalan biasa boleh diteruskan dan tidak ada pihak yang harus menakutkan mana-mana pihak," katanya kepada wartawan selepas menpengerusikan mesyuarat MT Umno di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Resolusi 10 perkara telah dibuat kerajaan pada tahum 2011 yang antaranya membenarkan masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak terus menggunakan alkitab (bible) versi bahasa Melayu mereka.

Najib berkata, perkara ke-9 dalam resolusi itu juga ada mengatakan secara spesifik bahawa ia tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan enakmen negeri.

Menjawab soalan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah baru-baru ini mengenai penggunaan kalimah ALLAH adalah eksklusif untuk orang Islam, beliau berkata titah itu adalah dalam konteks negeri Kedah memandangkan Seri Paduka sebagai ketua negeri Kedah.

"Ucapan dibuat pada hari keputeraan (Seri Paduka) Baginda," katanya.

Sementara itu, Najib berkata mesyuarat hari ini juga telah meluluskan panduan Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) Umno dan ia akan diedarkan kepada semua bahagian, cawangan dan perhubungan negeri.

Katanya KPI itu akan memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan lebih aktif dan sistematik dan setiap anggota MT akan dipertanggungjawabkan untuk memantau KPI bahagian manakala ketua bahagian akan ditugaskan untuk memantau KPI cawangan. - Bernama

Post a Comment Disqus

 
Top