0
Sembilan Ah Long kena cekup



Azizan (tengah) bersama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang ( Korporat/Kewangan), Deputi Superintendan Ng Fook Long (kiri) dan pegawai Operasi, Inspektor Chia Che Chau menunjukkan kad nama yang dirampas daripada Ah Long terbabit.

KUANTAN - Sembilan individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) dicekup polis ketika sibuk mencari pelanggan dalam kalangan kaki judi di sekitar Genting Highlands, petang kelmarin.

Suspek berusia antara 27 hingga 52 tahun itu ditahan berasingan hasil operasi khas Ops Vulture yang dijalankan serentak Jabatan Siasatan jenayah Komersil Pahang di kawasan peranginan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Azizan Md Isa berkata, hasil penahanan suspek itu, polis merampas 378 keping kad nama, 15 telefon bimbit dan wang tunai RM12,561.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek kebanyakan berasal dari luar Pahang dipercayai menjalankan operasi secara individu.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan sama ada mereka ada kaitan antara satu sama lain atau melibatkan sindiket.

“Modus operandi mereka dengan mengedarkan kad nama secara terbuka kepada orang ramai yang datang ke kawasan itu terutama kaki judi,” katanya pada sidang medianya di sini, semalam.

Azizan berkata, selain menawarkan khidmat pinjaman wang mudah, suspek juga dipercayai turut terlibat menjalankan aktiviti pelacuran membabitkan wanita warga asing berdasarkan maklumat yang tertera pada kad nama yang dirampas.

“Selalunya kaki judi yang kalah tertarik dengan tawaran diberikan memandangkan sindiket ini sedia meminjamkan wang melalui gadaian kereta, komputer riba, telefon bimbit dan barang kemas.

“Kita dapati jumlah pinjaman yang diberikan Ah Long ini antara RM1,000 hingga RM10,000 dengan syarat tertentu,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 12 serbuan dilakukan membabitkan kegiatan Ah Long di sini.

“Hasil serbuan itu, kita berjaya menahan 13 individu termasuk seorang wanita warga China,” katanya.

Post a Comment Disqus

 
Top