YEOSU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam keghairahan mencapai
status negara maju melalui pelbagai pelan transformasi yang dilakukan,
Malaysia tidak akan sesekali mengorbankan alam sekitarnya yang kaya
dengan pelbagai jenis flora dan fauna.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil pelbagai
langkah untuk memelihara khazanah negara ini termasuk dengan memperkenal
undang-undang dan dasar pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
"Kita sudah ada garis panduan dasar dan kita mahu negeri di Malaysia
yang punyai hak ke atas tanah, flora dan fauna di bawah tanggungjawab
mereka supaya mengambil langkah pembangunan tanpa meninggalkan kesan
buruk terhadap alam sekitar, baik pembangunan perumahan dan industri,"
katanya selepas merasmikan Hari Malaysia dan melawat Pavilion Malaysia
di EXPO Yeosu 2012, Korea Selatan, hari ini.
"Memang tuntutan pembangunan sentiasa ada, desakan guna tanah di kawasan
tanaman sentiasa ada tetapi keseimbangan pertahankan alam sekitar dan
pembangunan mesti wujud.
"Ini bukan saja tanggungjawab kementerian dan kerajaan tetapi juga
mereka (negeri-negeri) dan saya percaya dalam keghairahan untuk negara
maju, Malaysia tidak akan korbankan khazanah alam sekitar yang kita
ada," katanya. -
from ;- bharian
Post a Comment Facebook Disqus