Inalillahi wainailaihi rojiun
4 Februari 2014
SETIU - Tiga maut manakala dua lagi cedera parah dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Bari, Sungai Tong, di sini, pagi semalam, gara-gara seekor babi hutan melintas jalan.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan Toyota Innova, Proton Wira dan Perodua Kelisa.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Wan Nor Azreen Wan Ghazali, 24, (pemandu Proton Wira) serta ibunya, Rokiah Ab Rahim, 69, yang beralamat di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Manakala, seorang lagi ialah penumpang Toyota Innova yang merupakan salah seorang pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman, Mohd Farham Mohd Fisol, 16, meninggal dunia di Hospital Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, nahas dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu Wan Nor Azreen dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan Toyota Innova yang dipandu Mohd Fauzi Ibrahim, 46, dari arah bertentangan.
“Proton Wira dinaiki pemandu bersama ibu dan adiknya, Wan Nor Sofiana Wan Ghazali, 15, telah terlanggar seekor babi hutan.
" Kemudian terbabas ke laluan bertentangan serta bertembung dengan MPV.
“Akibat pertembungan itu, pemandu yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan ibunya yang berada di bahagian tempat duduk hadapan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.
“Kedua-dua beranak ini meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Manakala adik mangsa cedera parah,” katanya.
Ab Rahman berkata, akibat pertembungan itu, seorang penumpang Toyota Innova, Mohd Farham maut, dua cedera ringan iaitu Husna Mardhiyah Mohd Fauzi, 15 dan Mohd Shakir Mohd Fauzi, 17.
Manakala, pemandu MPV itu, Mohd Fauzi cedera parah.
“Seorang lagi penumpang Toyota Innova, Mohd Faiz Mohd Fisol, 15, tidak cedera dan begitu juga dengan pemandu Perodua Kelisa yang juga datang dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu, Mohd Fazizi Usop,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Mohd Anuar Mamat berkata, enam anggota menaiki sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum dibantu enam anggota bomba lagi dari Kuala Terengganu.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota bomba dapati tiga mangsa tersepit iaitu pemandu dan penumpang Proton Wira serta pemandu Toyota Innova.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dari tempat duduk masing-masing,” katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/3-maut-angkara-babi-melintas-1.247218
Post a Comment Facebook Disqus