PENDEDAHAN INI MUNGKIN MENGELAKKAN PEMBACA DARIPADA DIPERDAYA
Beberapa hari selepas menukilkan entri ini, saya dihubungi oleh wanita
melalui private message Facebook dan memperkenalkan dirinya sebagai
‘Elis’, 26 tahun.
Saya kemudian menemuinya pada jam 4 petang semalam di Kuala Lumpur.
“Saya mula bekerja di agensi telemarketing, sebagai kerani pentadbiran
kira-kiradua tahun lalu dan kemudian berhenti kerana agensi terbabit
tidak membayar gaji saya. Ruang pejabat di tingkat dua dibahagikan
kepada banyak partition diduduki telemarketer bertugas menghubungi
pemegang kad kredit dan kad debit menggunakan telefon. Jumlah mereka
mencecah lebih empat puluh orang, majoriti berbangsa Melayu dan India,
tiada Cina. Lebih menarik, kebanyakkan mereka graduan institusi
pengajian tinggi atau individu biasa tetapi mempunyai kemahiran bercakap
secara berkesan. Sepanjang tempoh latihan seminggu, pihak pengurusan
agensi memberikan bakal telemarketer skrip sebagai rujukan untuk membuat
panggilan dan kaedah menjawab soalan untuk dihafal. Antara pengisian
utama modul, cara untuk menyakinkan pelanggan agar akhirnya bersetuju
mendedahkan tiga nombor kod di belakang kredit kad dan debit mereka atau
lebih dikenali sebagai security code bank,” kata anak kelahiran Johor
itu saya temui di restoran mamak.
“Baik, ini kad kredit. Nombor manakah awak maksudkan?,” soal saya.
Elis kemudian spontan mengangkat kad kredit saya letakkan di atas meja.
“Nombor di belakang kad ini, di sebelah kanan tandatangan pemilik.
Nombor tiga digit ini amat penting kepada telemarketer,” responnya.
Saya mendengar dengan teliti sambil merakamkan kenyataan Elis menggunakan perakam suara jenis Sony.
“Sewaktu membuat panggilan, kami mulakan dengan kenyataan standard.
Assalamulaikum encik! Saya Elis daripada bank A dan bekerjasama dengan
syarikat insuran B untuk menawarkan skim insuran kepada pemegang kad
kredit. Memang semua telemarketer tidak menggunakan nama sebenar.
Kemudian kami sambung … nama encik, Mazidul Akmal Sidik, terlebih dahulu
saya ingin membuat semakan nombor kad pengenalan encik, 670319 …..
Betul? Pemilik kad lazimnya berkata ‘ya’ kerana kami memang dibekalkan
semua perincian peribadi bakal mangsa seperti alamat, alamat rumah, nama
pewaris dan termasuk nombor kad kredit visa dan mastercard mereka,”
jelas Elis.
“Kemudian?,” celah saya.
Ternyata wanita itu amat petah berkomunikasi.
“Kemudian kita cakap, baiklah encik, sekarang saya ingin mengesahkan
nombor kad kredit visa encik. Katalah 6080-0978-0800, bolehkah encik
tolong bacakan tiga nombor di belakang kad, bersebelahan tandatangan?
Sebenarnya ramai tidak mengetahui itu security code bank. Kami sengaja
bertanya walhal selalunya kami memang mempunyai maklumat itu
tersenarai,” katanya.
“Kalau sudah memiliki nombor kad kredit dan security code mengapakah
awak harus bertanya kepada pemilik kad?,” tanya saya keraguan.
“Itu memang syarat ditetapkan oleh agensi. Sebelum itu saya terangkan
kepada dia, skim insuran ditawarkan mengenakan bayaran RM399 untuk
setahun. Apapun, ayat terakhir setiap telemarketer lebih kurang sama
sahaja, jadi encik bersetuju kami akan cajkan RM399 ke akaun kad kredit
encik? Penolakan amaun itu akan bermula pada awal bulan hadapan dan kami
kemudian akan menghantarkan sijil insuran kepada encik. Kami mesti
menunggu sehingga dia berkata, saya bersetuju atau ok terlebih dahulu,
sebelum nombor kad kredit dan security code digunakan untuk tujuan
pembayaran. Biarpun pada awalnya kami memaklumkan dia penolakan bermula
pada bulan hadapan, sebenarnya kami akan caj kad kredit dia, pada hari
sama. Setiap telemarketer dimestikan membuat minimum dua sale sehari.
Setiap pemilik kad bersetuju dengan transaksi terbabit, telemarketer
meraih komisyen RM100 manakala syarikat mengaut keuntungan berbekalkan
modal air liur, RM299,” ujar Elis.
“Sebenarnya wujudkah hubungan di antara agensi, bank serta syarikat
insuran itu? Sijil insuran itu datang dari mana pula?,” tanya saya
sekaligus.
“Tidak! Itu semua penipuan! Sijil dijanjikan kepada mangsa dicetak
sendiri di pejabat. Bertujuan mengelakkan pemilik kad datang menyerang,
kami sedaya-upaya cuba untuk tidak akan memberikan alamat lengkap kepada
mereka. Manakala nombor telefon digunakan oleh telemarketer bukan
nombor talian tetap tetapi nombor telefon bimbit seperti 019, 017, 014
atau private number,” jelas Elis.
Kata Elis, purata bil telefon bulanan mencecah RM10,000 namun itu hanya
sekelumit berbanding jumlah keuntungan diperolehi oleh pengusaha agensi.
Tambah bekas pekerja agensi penipuan itu, majoriti mangsa mereka, pengguna baru kad kredit atau kad debit.
Elis bekerja di antara jam 10 pagi dan 6 petang setiap hari dan
diberikan senarai ratusan data perbankan pemilik kad untuk dihubungi.
“Semua individu kami telefon itu tidak semestinya memberikan layanan
baik. Kebanyakkannya kami attack pengguna kad kredit baru kerana mereka
tidak begitu arif mengenai transaksi kad kredit jauh sekali kegiatan
sindiket penipuan. Tambahan pula barangkali sebilangan bank gagal
memperingatkan pelanggan agar tidak mendedahkan security code kad kredit
atau debit melalui panggilan telefon. Beberapa individu kami hubungi,
acapkali melontarkan soalan, kalau benar awak daripada bank, mengapakah
perlu bertanya dan mendapatkan security code kad kredit saya? Kami akan
balas dengan kenyataan, kami ingin membuat pengesahan, betulkah encik
pemegang sah kad kredit itu? Itu trick digunakan,” responnya.
Menurut Elis, pengusaha agensi penipuan sebegitu meraih keuntungan
ribuan ringgit setiap sehari. Tidak hairan jika mereka hidup
senang-lenang dan memandu kereta mewah. Agensi terbabit lazimnya hanya
beroperasi kurang setahun di pejabat sama sebelum berpindah ke lokasi
lain dan sekaligus menukar nombor telefon untuk menjalankan kegiatan
Kini pejabat di tingkat satu dan dua terbabit telah ditinggalkan.
“Tingkat dua tempat telemarketer beroperasi manakala tingkat satu bekas
pejabat kakitangan pentadbiran termasuk bos. Tiada papan tanda syarikat
dipaparkan dan selalunya semua tingkap ditutupi tirai. Pejabat tempat
saya bekerja dahulu, pernah diserbu oleh kakitangan Suruhanjaya Syarikat
Malaysia. Sewaktu kejadian itu telemarketer diarahkan keluar dari
pejabat. Ada sekali, wakil syarikat insuran datang ke pejabat secara
mengejut. Mungkin berikutan terdapat aduan mengatakan agensi kami
menggunakan nama syarikat itu secara tidak sah untuk memperdayakan orang
ramai,” katanya.
“Semasa awak bekerja, berapakah jumlah sale sehari?,” soal saya.
“Satu atau dua sale sahaja SEBULAN sebab saya bekerja sebagai kerani
pengurusan dan cuma sesekali diarahkan bertugas sebagai telemarketer.
Pekerja lain? Mereka memang seronok. Contohnya, andai telemarketer mampu
menipu purata enam orang pemegang kad kredit baru, pendapatan harian
mereka mencecah RM600 Kalau telemarketer tidak membuat sale langsung,
mereka akan dibuang kerja. Kaedah digunakan oleh agensi, mudah. Bayar
sahaja gaji pokok telemarketer tidak perform separuh atau jangan
membayar langsung. Maka pekerja itu tidak akan mampu bertahan dan dengan
sendirinya terpaksa berhenti,” kongsi wanita itu.
Gaji pokok telemarketer, di antara RM800 dan RM1,500 sebulan dan majoriti pekerja, wanita.
“Adakah selama waktu bekerja, awak tahu agensi terbabit menipu ramai orang?,” tanya saya lagi tanpa jemu.
“Saya tahu, sebab itu saya tidak suka membuat sale. Saya juga pernah
berbual bersama kawan, bekerja sebagai marketer. Dia sudah berkeluarga
dan mempunyai anak. Saya bertanya kepada dia, sampai bilakah awak hendak
memberikan anak makan duit hasil penipuan?,” balasnya.
Saya kemudian mengemukakan soalan berikut.
“Pernah terdengar rungutan di kalangan telemarketer? Mungkin mereka tertekan kerana terpaksa membuat terlalu banyak panggilan
“Pernah! Namun kakitangan pihak pengurusan amat bijak memainkan peranan
mereka. Untuk mengalihkan pandangan dan tumpuan telemarketer, mereka
mengajak kami makan dan berkata, hari ini awak semua tidak perlu membuat
panggilan, kita semua boleh berehat. Mereka juga membuat pekerja
gembira menggunakan elemen kejutan. Baiklah, minggu ini kita akan pergi
melancong ke Melaka! Semua kos dibiayai sepenuhnya oleh agensi. Di
samping itu, pakej insentif berkumpulan juga ditawarkan kepada
telemarketer. Contohnya, jika sale mencecah sasaran, 60 sehari, pakej
pelancongan lebih istimewa ditawarkan kepada mereka. Bagaimanapun
melalui pengalaman saya, purata tempoh telemarketer bekerja di agensi
itu hanya di antara lima dan enam bulan sahaja,” kata Elis.
“Adakah semua telemarketer menyedari mereka bekerja di agensi menipu orang ramai?,” soal saya.
“Tidak semua. Saya lebih banyak tahu kerana bekerja sebagai kerani
pengurusan tetapi itupun atas tujuan mencari rezeki, terpaksalah.
Telemarketer tidak tahu langsung berhubung keuntungan ditangguk oleh
agensi apatah lagi status nama bank dan syarikat insuran mereka gunakan
untuk memperdaya pemegang kad kredit dan debit sewaktu menjalankan
tugas. Pihak pengurusan terlebih dahulu memaklum dan menyakinkan
telemarketer, operasi dijalankan itu kononnya sah dan dokumen peribadi
pemilik kad dibekalkan oleh pihak bank,” ujar Elis.
Tambah Elis, kebanyakkan telemarketer, pemegang diploma dan ijazah.
Justeru mereka mampu berkomunikasi dalam dwi bahasa, bahasa Melayu dan
Inggeris tatkala berkomunikasi dengan bakal mangsa.
“Kalau betul betul bekerja berbekalkan mulut manis, daya pujuk dan
telinga tebal, mereka boleh meraih pendapatan bulanan di antara RM3,000
dan RM4,000. Andai kata bakal mangsa marah, telemarketer harus bersikap
sabar kerana kakitangan pengurusan berkata, penjawab panggilan bukan
berada di hadapan awak. Jadi, mengapakah awak harus berasa takut? Semua
bertugas di pejabat agensi sama dilatih untuk menjawab pelbagai soalan
dilontarkan oleh pemegang kad kredit dan debit, kekadang dihubungi
berulang kali menggunakan teknik dicetak sebagai panduan. Adakalanya
bakal mangsa bertindak bijak. Mereka memberikan alasan kononnya sedang
bermesyuarat dan meminta untuk dihubungi kemudian dan selepas itu tidak
akan melayan panggilan kami. Hanya mereka bersikap lalai sahaja
terpedaya,” kongsi Elis.
Jika kini tiba-tiba dihubungi telemarketer, apakah respon awak? Soalan
itu saya lontarkan kepada wanita hanya meminum teh ‘O’ ais limau ketika
saya temui.
“Saya pernah bekerja seperti kamu sebelum ini dan kamu tidak perlu
menipu saya sebab kamu cuma ingin mendapatkan security code tiga digit
itu, kan? Terima kasih,” balasnya yakin.
Elis turut membawa saya ke lokasi agensi dipercayai masih beroperasi.
“Berikan saya tiga bank seringkali data peribadi pelanggan mereka
diperolehi oleh agensi secara mudah,” soal saya dengan debaran.
“M….., R….. dan C…. Itu bank paling popular dan mangsa sebelum ini,
ramai pelanggan institusi kewangan terbabit,” responnya tanpa kelihatan
teragak-agak.
“Soalan terakhir, adakah senarai nama dan maklumat perbankan peribadi
individu menjadi mangsa atau tidak, dibekalkan oleh kakitangan syarikat
telekomunikasi atau …?,” tanya saya.
Memang saya membiarkan soalan itu tergantung.
“Sekali, saya dan kakitangan pengurusan agensi pernah bertemu dengan
lelaki mendakwa kakitangan bank. Kami bertemu di restoran mamak. Dia
menyerahkan senarai kira-kira 200 nama, lengkap beserta data peribadi
perbankan pelanggan dalam bentuk pen drive. Setiap satu data dijual
dengan harga di antara RM1 dan RM1.50. Apapun pastinya bukan semua
kakitangan institusi perbankan terbabit,” jelas Elis.
“Wow! Semurah itu?
Saya terkejut.
“Ya dan lazimnya dalam tempoh dua minggu, secara rutin agensi akan
membeli senarai data lain pula, dibekalkan individu sama atau berbeza.
Melalui pengalaman, saya boleh mengesahkan, syarikat telekomunikasi
tidak terbabit dalam sindiket penipuan ini,” balasnya.
NOTA
Perkataan ‘telemarketer’ dalam entri ini secara spesifik HANYA merujuk
kepada pekerja di bekas agensi Elis pernah bertugas sekaligus BUKAN
ditujukan kepada SEMUA telemarketer di seluruh negara.
Justeru telemarketer lain, tidak terbabit dengan kegiatan penipuan, usah terasa mahupun melenting.
SILA SEBARKAN KANDUNGAN ENTRI INI DI FACEBOOK, BLOG DAN TWITTER UNTUK
MEMPERTINGKATKAN KESEDARAN MASYARAKAT AGAR TIDAK KERUGIAN AKIBAT
DIPERDAYA.
sumber: kutiup.info
Post a Comment Facebook Disqus