0
BIAR sudah berusia 65 tahun, D.J Dave bukan sahaja bertenaga malah masih boleh menyarung koleksi baju lamanya yang telah berusia lebih 30 tahun. 
 
KONSERT Journey Through Song - Ingin Bersua yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 1 hingga 3 Jun lalu merupakan konsert terbesar pernah dijayakan oleh Datuk D.J. Dave sepanjang 40 tahun beliau menjadi penyanyi dalam persada seni suara tempatan.

Dave berasa puas kerana menerusi konsert dengan kos mencecah RM1 juta anjuran syarikatnya sendiri, Shahdave Entertainment itu dia bukan sahaja dapat menghiburkan para peminat tetapi turut mengimbau nostalgia zaman kegemilangannya sebagai penyanyi empat dekad yang lalu.

Bagi melahirkan kesyukuran atas kejayaannya mengadakan konsert dengan selama dua jam pada empat malam termasuk untuk media massa pada Khamis lalu, penyanyi berusia 65 tahun itu akan mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah selama hampir dua minggu mulai 7 Jun ini.

"Saya akan berlepas ke Mekah bagi menjalani ibadah umrah bersama-sama lima orang kawan baik saya termasuk Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga merupakan Presiden Kelab Putera 1Malaysia selepas empat hari konsert ini selesai diadakan kelak.

"Ia sebagai tanda kesyukuran kerana impian saya untuk mengadakan konsert berskala terbesar dalam kerjaya sebagai penyanyi akhirnya tercapai. Saya bersyukur kerana ramai peminat yang datang memberi sokongan serta para penaja dan media massa sepanjang konsert ini berlangsung.

"Ramai peminat setia saya dari luar Kuala Lumpur termasuklah dua bas dari Singapura dan dua bas lagi dari Pulau Pinang yang telah menempah tiket mahu menyaksikan konsert ini sejak tiga bulan lalu turut hadir bagi menyaksikan konsert yang penuh bermakna buat saya ini," katanya.
Pada pertemuan selepas konsert malam pertamanya di Panggung Sari yang mengenakan tiket-tiket berharga dari RM53 hingga RM453 itu, Dave menyanyikan hampir 40 buah lagu termasuklah secara medley dengan iringan para pemuzik orkestra dibawah pimpinan Eddie Marzuki.

Menurut penyanyi berketurunan Punjabi itu, dia mengambil masa lebih tiga bulan bagi mengadakan persiapan konsert tersebut termasuklah mengamalkan diet bagi mengekalkan stamina selain menguruskan sedikit berat badan agar persembahannya lebih mantap dan bertenaga.

"Saya mengamalkan diet dan senaman lebih tiga bulan lalu termasuklah dengan cara mengurangkan makan nasi. Ia bertujuan mengurangkan berat badan di mana pada masa sama bagi memastikan saya boleh memakai semula koleksi pakaian-pakaian lama saya untuk konsert ini.

"Ini kerana kebanyakan pakaian yang saya pakai pada malam ini berada dalam simpanan saya sejak lebih 30 tahun lalu. Semua kostum yang saya pakai adalah asli dan bukannya baru ditempah supaya ia mampu mengimbas nostalgia saya dan juga para peminat pada konsert ini.

"Malah saya turut membawa kereta jenis Alfa Romeo keluaran tahun 1972 yang saya beli pada tahun 1973 naik ke atas Panggung Sari bagi menambahkan lagi nostalgia itu. Kereta itu adalah kereta yang saya gunakan pada kulit album kedua saya kira-kira 39 tahun lalu," ujarnya.
Meskipun tidak sempat mengadakan latihan secara intensif bersama-sama dengan para pemuzik orkestra itu tetapi dia tetap berjaya mengalunkan lagu-lagu pada malam itu dengan gaya serta persembahan yang tersendiri termasuklah berinteraksi dengan baik bersama para penonton.

Bagaimanapun penyanyi yang asalnya merupakan seorang posmen ini tidak menafikan rasa gementarnya kerana kekurangan latihan menyebabkan ada beberapa lagu seperti Negaraku Tercinta, Denyutan Hati dan Anak Siapa Menangis Di Jalanan tidak dapat dibawakan.

Namun pada konsert itu, Dave menyanyikan banyak lagu popularnya seperti Ingin Bersua, Maafkanlah, Menjelang Hari Raya, Nyawaku termasuk lagu duet berjudul I Will Always Love You bersama Marsha Londoh dan duet dengan Dayang Nurfaizah dalam lagu Life With You.

Tambah 'menyentap' nostalgia lampaunya sebagai penyanyi, Dave turut mengundang Uji Rashid berduet dengannya melalui lagu duet paling popular mereka bertajuk Rintihan Rasa dan mendapat tepukan paling gemuruh selain para penonton menyanyikannya bersama-sama.

Uji yang ditemui pada konsert yang menjadikan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu ditemani anak tunggalnya, Cico serta cucunya, Rindu Nor Fitrah, 3, begitu teruja apabila diundang menyanyikan lagu Rintihan Rasa yang pertama kali dinyanyikannya bersama Dave.

"Ini adalah kali pertama saya dan Dave menyanyikan lagu itu di atas pentas konsert yang besar seperti ini. Lagu itu meninggalkan nostalgia kerana ia telah dirakamkan lebih 30 tahun lalu dan liriknya ditulis oleh saya dan arwah adik saya iaitu Lam atau Ramlah Harun Al-Rasyid," katanya.

Pada konsert yang turut menjemput komposer S. Atan dan gitaris kumpulan Lefthanded, Man Kidal sebagai pemuzik undangan itu, Dave tidak ketinggalan menjual pelbagai barangan cenderahati seperti buku biografinya berharga RM15, album edisi khas (RM99) dan buku program (RM3).

Sumber from ; utusanonline

Post a Comment Disqus

 
Top