0

Lagu Iban pikat Najib di Sarawak


PAKAN: “Saya tertarik apabila mendengar lagu itu ketika di Betong pagi tadi (semalam). Saya merasakan ia perlu diangkat sebagai lagu nasional dan dimainkan pada sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia nanti,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tertarik dengan sebuah lagu Iban yang pertama kali beliau dengar ketika menghadiri majlis di Betong, semalam.
Lagu ‘Bekikis Bulu Betis’ mencuit hati beliau kerana keunikan irama serta seni katanya yang menggambarkan semangat juang yang tidak mengenal erti menyerah kalah.

Sehubungan itu, Najib berkata, lagu penyanyi Iban terkemuka, Andrewson Ngalai, yang dirakam beberapa tahun lalu itu wajar dibawa ke peringkat nasional.
“Saya difahamkan lagu ini menggambarkan kesungguhan rakyat Sarawak untuk bangkit dan sanggup menempuh pelbagai cabaran untuk mencapai kemajuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Gawai Dayak yang dihadiri kira-kira 3,000 penduduk di Rumah George Chungut, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Menteri Pembangunan Sosial negeri, Tan Sri William Mawan Ikom dan Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Openg.

Antara lain, lagu itu menggambarkan kesungguhan seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatinya sehingga sanggup berhabisan walaupun terpaksa mengikis bulu betis.

Kata Najib, semangat bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu kejayaan itu juga telah beliau terjemahkan dalam tempoh tiga tahun menerajui kepimpinan negara.

“Kita berusaha sedaya upaya untuk membawa kemajuan termasuk di pedalaman Sarawak dan kita berjaya melakukannya dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.


Sumber From : mymetro


Post a Comment Disqus

 
Top