0
Wanita ulung karya seni ...





MELETAKKAN wanita ikonik sebagai subjek untuk dikupas secara halus dalam sesebuah karya, merupakan satu kelaziman yang berlaku dalam mana-mana sejarah pembikinan filem atau teater dunia.
Mungkin bukan yang terawal dalam sejarah, perjuangan Ratu Mesir, Cleopatra VII, untuk melawan rancangan imperialis Rom pernah diabadikan dalam filem hebat berjudul Cleopatra (1963) lakonan Elizabeth Taylor. Di luar negara, ada beratus karya yang menghidupkan semula perjuangan wanita sebenar ke dalam filem. Namun, filem-filem yang mengangkat perjuangan wanita ikonik karya tempatan sebenarnya masih terlalu miskin.

Filem Melayu klasik, Tun Fatimah (1962) barangkali naskhah yang paling kuat menjulang ikon wanita ke dalam filem. Meminjamkan wajah primadona filem Melayu ketika itu, Maria Menado, Tun Fatimah membawa perjuangan seorang srikandi yang berjuang menegakkan keadilan pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah di Johor.

Karya berwatak ikonik semestinya sebuah filem biografi atau sejarah. Di Malaysia, akhir-akhir ini wujud keberanian pembikin teater untuk serius menangani watak-watak ulung sama ada wanita atau lelaki.

Selepas Muzikal Ibu Zain, Muzikal Tun Razak, Muzikal Tun Mahathir, P. Ramlee The Musical berlanjutan pula dengan Natrah dan sebagainya, terbaharu Teater Tun Siti Hasmah pula bakal dipentaskan pada 30 Ogos sehingga 9 September nanti di Istana Budaya. Teater yang merakamkan cerita bekas wanita pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali itu sekali lagi menampilkan jelitawan tanah air, Erra Fazira sebagai isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di pentas teater.

Dari segi kepercayaan dan keyakinan pengkarya terhadapnya, Erra menyifatkan naskhah Siti Hasmah itu satu pencapaian tertinggi untuknya. Berbanding watak fiksyen atau orang yang telah meninggal dunia, watak sebenar kepada tokoh yang masih hidup sedikit sebanyak memberi tekanan kepada bekas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia itu.

ERRA FAZIRA menjiwai watak sebagai Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali (kanan) dalam naskhah teater bertajuk Teater Tun Siti Hasmah.


"Saya anggap Tun Dr. Siti Hasmah sebagai pencinta yang setia. Dalam teater ini, beliau sendiri mahu digambarkan sebagai seorang isteri yang setia. Cabarannya, sudah tentu suaminya (Dr. Mahathir) dan anak-anaknya lebih kenal siapa Siti Hasmah berbanding saya. Itu cabaran utama yang harus saya hadapi.

"Dari segi rujukan serta kajian yang telah dilakukan, saya yakin pengarahan Adlin Aman Ramli akan memberikan sesuatu yang berbeza walaupun ini kali pertama saya akan berkerjasama dengannya," jelas Erra semasa pertemuan khas kali kedua bersama pasangan Siti Hasmah dan Dr. Mahathir di Yayasan Al-Bukhary, Jumaat lalu.

Kepada negarawati berusia 85 tahun itu, jika diberi pilihan, beliau mengakui mahu dirakamkan sebagai seorang doktor yang berkhidmat untuk masyarakat berbanding statusnya sebagai isteri bekas perdana menteri Malaysia. Sebelum memberi persetujuan untuk kisahnya diabadikan di pentas teater, Siti Hasmah juga mengambil masa selama beberapa tahun untuk membuat keputusan.

"Saya malu dan saya fikir, saya bukan seorang yang istimewa," katanya seperti bercanda.
Sebagai tokoh masih hidup yang menjadi rujukan utama teater berkenaan, Siti Hasmah tidak dapat menolak rasa gugup.


SITI HASMAH sentiasa mengagumi kakaknya, Saleha.


"Biasanya cerita ditulis tentang orang yang telah meninggal dunia, tapi teater ini berbeza. Saya berasa sedikit gugup. Tapi memikirkan Erra Fazira yang melakonkan watak saya, saya tahu dia seorang pelakon yang tepat untuk watak itu. Sebelum ini pun Erra telah lakonkan watak itu, dia nampak lebih cantik berbanding diri saya yang sebenar," puji Siti Hasmah yang sudah terbiasa menonton karya tentang perjuangan wanita ulung ketika di zaman mudanya.

Sama seperti Siti Hasmah, kalau boleh berkata tidak, Dr. Mahathir tidak mahu kisah peribadi mereka dimasukkan ke dalam karya seni.
"Saya tak senang sangat dengan kisah peribadi, saya malu sebenarnya. Saya lebih selesa bercerita tentang kerajaan dan parti. Kalau masuk bab peribadi, saya malu," katanya yang menggunakan panggilan 'yang' kepada Hasmah sewaktu dalam alam percintaan.

Mengharapkan impak teater itu memberi manfaat kepada masyarakat, Siti Hasmah merasakan impak paling besar yang pernah dilakukan sepanjang berkhidmat sebagai doktor dan pegawai kesihatan ialah menukar mentaliti masyarakat Melayu untuk percaya kepada bidan kerajaan.

"Saya lihat pencapaian menukar mentaliti orang Melayu daripada percayakan bidan kampung kepada bidan kerajaan yang lebih bertauliah. Dengan cara itu, kematian ibu-ibu semasa melahirkan anak dapat dikurangkan. Rasanya itulah pencapaian yang paling saya bangga sewaktu bertugas dahulu," ujar Siti Hasmah yang memilih kakaknya, Tan Sri Saleha Mohamad Ali sebagai wanita ulung yang harus diberi penghargaan jika mahu dirakamkan dalam teater atau filem.


Sumber From: Kosmo

Post a Comment Disqus

 
Top