0
KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia mencatatkan lantunan semula berikutan aktiviti belian saham berharga murah terpilih hari ini selepas penurunan baru-baru ini dan sejajar dengan prestasi pasaran serantau lain, kata peniaga.

Kenaikan saham perladangan dan perbankan melonjakkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk ditutup 5.18 mata atau 0.33 peratus lebih tinggi kepada 1,560.36 selepas berada antara 1,554.51 dan 1,563.33.
Seorang peniaga berkata pelabur membeli untuk menampung kekurangan menjelang mesyuarat Kumpulan Tujuh (G7) mengenai krisis hutang zon euro, walaupun sentimen pelabur masih lemah, berikutan kebimbangan berterusan akan keadaan ekonomi global.
"Dengan situasi ekonomi global masih lagi suram, para pelabur nampaknya menaruh harapan beberapa kerajaan akan muncul dengan langkah-langkah rangsangan yang kukuh bagi merangsang pertumbuhan," katanya.

Dilaporkan bahawa Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat dari negara perindustrian G7 akan mengadakan mesyuarat kecemasan pada Selasa untuk membincangkan situasi ekonomi yang semakin memburuk di zon euro.

Mereka dijangka membincangkan krisis perbankan yang meruncing di Sepanyol dan kemungkinan Greece keluar dari zon euro.

Indeks Kewangan naik 54.70 mata kepada 13,984.91, Indeks Perladangan meningkat 68.77 mata kepada 8,210.04 manakala Indeks Perusahaan turun 7.69 mata kepada 2,721.23.
Indeks FBM Emas menambah 38.08 mata kepada 10,629.23, Indeks FBM ACE meningkat 39.66 mata kepada 4,171.55, dan Indeks FBM Mid 70 menokok 51.94 mata kepada 11,513.57.

Situasi pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 411 berbanding 275 manakala 309 kaunter tidak berubah, 559 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 637.97 juta saham bernilai RM923.14 juta daripada 677.63 bilion saham bernilai RM1.144 bilion semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 457.578 juta unit bernilai RM892.705 juta daripada 475.81 juta unit bernilai RM1.112 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 108.325 juta saham bernilai RM21.569 juta daripada 115.597 juta saham bernilai RM21.37 juta.

Waran jatuh kepada 70.168 juta unit bernilai RM8.45 juta daripada 85.067 juta unit bernilai RM9.5 juta.

Di kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM8.66, Sime Darby meningkat dua sen kepada RM9.65 dan CIMB menambah lima sen kepada RM7.42.

Di kalangan kaunter cergas, Global Tec Formation tidak berubah pada 10 sen manakala Naim Indah Corportaion turun setengah sen kepada 32 sen dan Metronic Global meningkat setengah sen kepada 11.5 sen.

Barangan pengguna menyumbang 23.83 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 127.502 juta, pembinaan 11.947 juta, perdagangan dan perkhidmatan 160.341 juta, teknologi 17.893 juta, prasarana 14.108 juta, kewangan 49.052 juta, hotel 405,900, harta 36.992 juta, perladangan 9.636 juta, perlombongan sifar, REIT 4.983 juta dan dana tertutup 31,900. - BERNAMA

sumber from ; bharian

Post a Comment Disqus

 
Top