0

England makin 'tempang'


CAHILL (tengah) mengalami kecederaan selepas bertembung dengan Hart (kiri) awal pagi semalam.


LONDON - England terpaksa membayar dengan harga yang tinggi di sebalik kemenangan 1-0 ke atas Belgium pada aksi persa- habatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Skuad The Three Lions berkemungkinan akan kehilangan dua tonggak pertahanan, Gary Cahill dan John Terry bagi menghadapi kempen Euro 2012 bermula 8 Jun ini.

Kedua-dua pemain itu berada dalam senarai terbaharu yang mengalami kecederaan selepas dua perancang, Gareth Barry dan Frank Lampard terpaksa diketepikan minggu lalu.
Impian Cahill untuk menyarung jersi England pada Euro 2012 di Poland dan Ukraine itu masih mencetuskan tanda tanya.

Cahill mengalami kecederaan selepas dia diasak pemain sayap Belgium, Dries Mertens sehingga menyebabkannya berlanggar dengan penjaga gol England, Joe Hart pada minit ke-17.
Terry pula terpaksa dikeluarkan pada babak kedua perlawanan selepas dia mengadu mengalami hamstring.

Kedua-dua pemain tersebut akan menjalani ujian imbasan bagi mengetahui lebih lanjut tahap kecederaan mereka.

Yang pasti, situasi tersebut mencetuskan dilema buat jurulatih England, Roy Hodgson dalam usaha beliau membariskan pemain pertahanan terbaiknya terutama ketika aksi sulung menentang Perancis peringkat Kumpulan D pada 11 Jun ini.

"Jika Cahill mengalami patah di bahagian rahangnya, ia sudah pasti merupakan tamparan hebat buat kami (England).

"Sekali lagi, kami akan kehila- ngan tonggak utama daripada skuad asal untuk ke Poland," kata Hodgson.

Bagaimanapun, Hodgson optimis kecederaan yang dialami Terry tidak begitu serius dan berharap pemain itu akan kembali pulih sepenuhnya sebelum kempen Euro 2012 membuka tirainya.
"Kami telah bekerja keras minggu ini. Sebab itu, para pemain akan berasa sedikit ketega- ngan di bahagian otot mereka dan begitu juga dengan apa yang dialami oleh Terry.

"Kecederaan tidak akan memberi kesan besar kepada kami. Namun, saya akan menunggu laporan terhadap ujian imbasannya untuk mendapat jawapan sama ada dia boleh beraksi atau tidak," kata Hodgson.

Pada aksi awal pagi semalam, gol kemenangan England dijaring- kan oleh penyerang muda Manchester United, Danny Welbeck pada minit ke-37.

"Ia merupakan satu gol yang baik. Saya berpuas hati dengan corak permainan Welbeck," jelas Hodgson. - AFP


sumber from : Kosmo

Post a Comment Disqus

 
Top