0

Tiada kompromi tepis ancaman keamanan: PM

 

Tanggungjawab rakyat pertahan sistem beri manfaat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan terus bertindak tegas tanpa kompromi dalam menepis sebarang ancaman, terutama yang menggugat ketenteraman hidup rakyat negara ini.

“Walaupun tidak disenangi sesetengah puak, termasuk kuasa asing, kita tidak akan sesekali tunduk pada mana-mana tekanan dan akan mengambil apa saja langkah yang wajar supaya hak majoriti rakyat untuk hidup rukun terus dilestarikan,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika ucapan sembah tahniah pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

Sambil menzahirkan setinggi-tinggi junjungan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Najib berkata, kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi matlamat tertinggi kerana kerajaan ini adalah sebuah kerajaan daripada rakyat untuk rakyat yang mendapat mandat majoriti rakyat selain barisan kepemimpinan dipilih secara demokratik.

“Makanya kita tidak boleh sewenang-wenang membiarkan asas terpenting demokrasi, iaitu keunggulan suara majoriti dimusnahkan oleh mereka yang mahu menegakkan kaedah rimba tidak bertempat dengan menganggap siapa paling lantang, siapa paling licik dan siapa paling ganas sebagai kudrat dan kebenaran. Cara gaya dan pegangan seperti ini, wajib ditolak sekeras-kerasnya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai rakyat yang cintakan keamanan, menjadi tanggungjawab setiap golongan untuk mempertahankan institusi serta sistem yang terbukti memanfaatkan kehidupan nasional dan bukannya menimbulkan kesangsian apatah lagi ketidakyakinan rakyat terhadapnya.
Justeru, kata Najib, rakyat hendaklah sentiasa menginsafi jerih payah kerajaan mentransformasikan negara dan jangan ada kelompok cuba memusnahkan pencapaian yang ada hanya kerana kepentingan jangka pendek.

Beliau berkata, dialog nasional yang sihat harus sentiasa digalakkan kerana perbezaan pendapat yang disalur secara membina adalah suatu rahmat kepada rakyat dan negara.

“Maslahat kebangsaan sewajarnya dibincangkan secara tertib bagi mencari penyelesaian terbaik bukannya diluahkan secara tidak keruan lagi menggila di jalanan.

“Penggunaan taktik kotor yang tidak bertanggungjawab bagi mencapai objektif politik hanya merugikan rakyat dan negara. Beringatlah bahawa, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara,” katanya.

Najib berkata, dewasa ini, umum makin mengetahui bahawa kewibawaan kerajaan secara sengaja terus cuba dipertikai dan diperlekeh sesetengah kelompok.

“Pendek kata, apa jua kejayaan yang dicipta oleh kita, mereka tidak akan memperakuinya dek kerana tidak mendatangkan laba atau keuntungan, malah merugikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, negara akan jauh ketinggalan dan kalah dalam persaingan jika terbelenggu oleh permasalahan serta perbalahan yang tiada hujungnya.
Perdana Menteri menegaskan walau apa jua halangan dan sehebat mana rintangan, kerajaan tidak sedikit pun terkesima dengan gangguan yang ditimbulkan, malah, akan tetap fokus, cekal lagi tabah bergerak di atas landasan kebenaran demi pertiwi.

“Pucuk pangkalnya, kerajaan Tuanku ini akan terus menegakkan syarat dengan undang-undang, menegakkan adat yang dipegang, menegakkan amanah yang disandang, menegakkan hukum ditimbang, menegakkan pusaka yang berbilang dan menegakkan janji yang ditimang,” katanya. – BERNAMA


sumber From : b.harian

 

Post a Comment Disqus

 
Top